Kuantan adalah sebuah bandar besar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, di kedudukan 3° 50' Utara, 103° 20' Timur (ini adalah lokasi sebelum kejadian gempa bumi dan tsunami 26 Disember 2004, yang dikatakan telah menganjakkan Semenanjung Malaysia beberapa sentimeter dari kedudukan asal). Ia merupakan ibu negeri Pahang, di dalam negara Malaysia. Jumlah penduduk di daerah Kuantan adalah sekitar 607,778 orang.
Berkedudukan di pesisir Laut China Selatan dan di tebing Sungai Kuantan berdekatan kualanya, Kuantan yang masyhur dengan pantai-pantainya dan Masjid Sultan Ahmad 1 sebagai ikon di tengah-tengah bandar adalah pintu masuk ke Pantai Timur bagi mereka yang datang dari arah Kuala Lumpur dan selatan Semenanjung.
Kuantan dipercayai telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke-19 adalah bermula sebagai petempatan. Hal kewujudan Kuantan ini telah pun disentuh oleh Abdullah Abdul Kadir Munshi pada tahun 1851/2 seperti berikut:
- "Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada dan; maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari...."
Pada abad ke-19, pendatang dari Sumatera (Indonesia) dipercayai telah membuka penempatan di tebing Sungai Kuantan, khususnya di sekitar Teruntum yang terletak berdekatan Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari ini. Terdapat beberapa teori mengenai asal nama "Kuantan". Ada yang mengatakan nama tersebut mempunyai kaitan dengan tempat asal pendatang dari Sumatera itu, yakni Kampung Kuantan. Terdapat juga satu tempat bernama Kuala Kuantan di negeri Selangor. Ada pula yang mengatakan nama bandar ada hubungan dengan bangsa China, kerana bunyinya yang sedemikian rupa.
Walau apa pun, suatu tempat bernama Kuantan telah wujud sebelum tercetusnya Perang Saudara Pahang pada tahun 1858, tatkala dua beradik, Wan Ahmad dan Wan Mutahir menentang satu sama lain untuk menguasai negeri tersebut setelah bapa mereka, Bendahara Ali, iaitu pemerintah Pahang, meninggal dunia. Pertelingkahan bermula apabila Wan Mutahir, yang menggantikan Ali sebagai Bendahara, telah menidakkan wasiat Ali yang menyatakan Wan Ahmad akan memerintah dua daerah - Kuantan, dan juga Endau (pada masa itu sebuah daerah dalam negeri Pahang; pada hari ini ia di dalam negeri Johor).
Perang saudara itu tamat pada tahun 1863 (walaupun pertelingkahan dalaman antara para pembesar yang telah berpecah-belah berterusan dalam dekad-dekad berikutnya), dengan Wan Ahmad mencapai kejayaan dan menjadi Bendahara Pahang yang baru. Beliau kemudiannya menaikkan taraf diri beliau sebagai Sultan Pahang, justeru mengasaskan susur-galur Sultan-sultan dan kerabat diraja yang sedang memayungi negeri. Pada waktu itu, cukai yang dikutip dari lembah Sungai Kuantan menjadi pendapatan utama pemerintah Pahang, justeru ia berkepentingan dari segi ekonomi negeri.
Kerajaan British mula mencerobohi pentadbiran negeri-negeri Melayu di sekitar permulaan Perang Saudara Pahang. Pada tahun 1888, British mengambil alih pentadbiran negeri Pahang. Kuantan mula diberikan perhatian sebagai pusat perdagangan, khususnya berkaitan aktiviti perlombongan bijih timah di pekan Sungai Lembing dan Gambang berdekatan. Pada masa itu, para peniaga berbangsa Cina mendominasi suasana perniagaan dan perdagangan di Kuantan.
Pada 30 Disember 1942, Kuantan telah jatuh ke tangan askar Jepun yang menyerang Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua. Pusat bandar lama iaitu di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar masih menempatkan binaan-binaan era sebelum Perang Dunia Kedua, sementara kubu kecil yang dibina dalam menghadapi ancaman Jepun boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Kuantan.
Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang yang asalnya di Kuala Lipis sepanjang era residensi British telah dipindahkan ke Kuantan, dan kepentingan bandar ini dari segi pentadbiran semakin meningkat. Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (Malaysia terbentuk sebagai satu persekutuan dalam tahun 1963), Kuantan terus berkembang sebagai pusat komersial dan perusahaan yang penting. Kerajaan negeri dan Persekutuan membangunkan Kuantan dengan memberikan tumpuan kepada sektor pentadbiran, industri, pertanian dan pelancongan.
Oleh sebab Kuantan merupakan sebuah bandar yang "muda" secara relatifnya, ia tidak memiliki banyak budaya tradisi tempatan yang unik, melainkan yang dibawa oleh mereka yang berasal dari luar dan menetap di Kuantan, khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan. Oleh sebab itu, amat mudah untuk mendengar orang ramai di Kuantan bercakap dalam loghat Terengganu dan Kelantan, sementara makanan tradisional dan kegemaran dari kedua-dua negeri itu juga popular di sini. Jauh sedikit dari bandar Kuantan sendiri, iaitu ke arah barat dan selatan, barulah budaya tradisi Pahang dapat diperhatikan sedikit demi sedikit.
Pemandangan pusat bandar dari udara. Sepanjang tahun 1990-an, Kuantan menyaksikan perkembangan pesat apabila pusat komersial di tengah bandar dibina dengan banyaknya, dan jumlah penduduk di sekitar bandar dan dalam daerah Kuantan meningkat. Kuantan yang dahulunya merupakan sebuah bandar yang damai dan digambarkan sebagai "sesuai untuk mereka yang sudah bersara", kini semakin sibuk dan mula mengejar status sebagai sebuah bandaraya. Beberapa kilang petrokimia gergasi telah dibuka di Gebeng, menandakan pertumbuhan berterusan dalam sektor industri.
Sebuah bandar satelit, iaitu Indera Mahkota telah mula dibangunkan sejak pertengahan 1980-an untuk memberi ruang pembangunan di bandar Kuantan, khususnya dari segi perumahan. Pejabat-pejabat kerajaan Persekutuan dan negeri yang terletak di pusat bandar Kuantan yang sesak mula dipindahkan secara berperingkat ke bangunan-bangunan baru di Indera Mahkota. Kampus cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah mula beroperasi (fasa-fasa berikutnya sedang dalam pembinaan).
Setelah siapnya Jambatan Tanjung Lumpur pada tahun 1996, petempatan di seberang Sungai Kuantan, yakni di tebing selatan akhirnya memiliki perhubungan jalan raya secara terus ke bandar Kuantan. Sebelum itu, orang ramai menggunakan bot-bot penambang dari jeti di Taman Esplanade untuk ke kampung di seberang sungai; kini bot-bot berkenaan sudah pupus sama sekali. Pertumbuhan di kawasan terbabit mula rancak, akan tetapi perlindungan khas diberikan buat hutan paya bakau yang masih menutupi tebing selatan tersebut agar ia terus terpelihara.
Suasana metropolitan di bandar Kuantan kian jelas dengan pembukaan pusat membeli-belah yang besar dan premis-premis bercitarasa dan kelas tinggi sejak akhir-akhir ini. Walaupun pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) belum mengumumkan sebarang sasaran secara rasmi, ramai penduduk menjangkakan Kuantan akan diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya dalam tempoh beberapa tahun terdekat.
Dalam tahun 2004, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Satu yang menghubungkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak ke Kuantan telah dibuka, memendekkan masa perjalanan dari ibu negara Malaysia sehingga separuh. Aktiviti perdagangan dan perindustrian, selain pelancongan dijangka semakin rancak. Kesannya sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh penduduk Kuantan sendiri pada hari ini. Pembukaan lebuhraya baru tersebut hampir serentak dengan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan ke-47 peringkat nasional di Kuantan pada 31 Ogos 2004.
Dalam bulan Oktober 2007, kerajaan Malaysia telah melancarkan pelan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region, ECER) untuk mempercepatkan pembangunan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang, serta daerah Mersing di Johor. Pelan itu akan melihat suntikan pelaburan ke dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan industri. Walaupun Kuantan tiak diberikan penekanan besar (berbancing Kuala Terengganu yang dijadikan "pusat" bagi ECER meskipun Kuantan mempunyai lebih banyak ciri-ciri strategik), pembangunan di wilayah dan negeri akan memacu bandar itu ke hadapan. Di bawah pelan ECER, Pelabuhan Kuantan akan dinaik taraf menjadi sebuah Bandar Pelabuhan lengkap dengan zon perdagangan bebas, lebuh-lebuh raya baru akan dibina dan lapangan terbang sedia ada dipertingkatkan. Lokasi Kuantan di tengah-tengah jajaran pantai ECER (bermula dari Kelantan di utara ke Mersing di selatan) akan memastikan pembangunan dan kesejahteraan yang berterusan.
No comments:
Post a Comment