Thursday, September 16, 2010

Asal Usul Nama-Nama Mukim di Kuantan

Asal-usul nama beberapa tempat di Kuantan, diperolehi melalui cerita-cerita lisan orang-orang tua.

TELUK SISEK
Kawasan ini asalnya adalah sebuah teluk. Berhampiran dengannya terdapat sebuah bukit yang menganjur ke teluk. Di kawasan kaki bukit inilah selalunya "penyu-penyu sisek" mendarat untuk bertelur. Zaman beredar dan melalui proses pembentukan muka-bumi, teluk kini bertukar menjadi paya. Kawasan ini kemudiannya diteroka dan dibangunkan. Namanya diilhamkan dari peristiwa yang dikaitkan dengan "teluk" dan "sisek". Sehingga kini masih terdapat kulit-kulit siput lama di sekitar tasik di belakang kediaman YAB Menteri Besar sebagai bukti bahawa tempat ini dahulunya adalah sebuah teluk.

KAMPUNG JAWA
Semasa Estet Batu Talam dibuka untuk tanaman getah, ramai orang-orang Jawa telah bekerja sebagai penoreh getah. Mereka telah membuat penempatan berhampiran Kampung Tengah. Hasilnya kawasan ini akhirnya dikenali sebagai Kampung Jawa.

BUKIT SETONGKOL
Kedudukan bukit ini agak ganjil kerana ianya hanya setongkol sahaja jika dibandingkan dengan bukit-bukit yang lain di persekitarannya. Bersesuaian dengan keadaan fizikalnya ini, kawasan ini dinamakan Bukit Setongkol.

BUKIT UBI
Sebelum dijadikan kawasan pecah batu, bukit ini telah dijadikan kawasan penanaman ubi kayu oleh penduduk-penduduk tempatan. Makan kekallah namanya Bukit Ubi.

PADANG LALANG
Kawasan ini dahulunya adalah sebuah padang yang dipenuhi dengan lalang.

TANJUNG LUMPUR
Tanjung yang menghala ke laut ini telah diliputi oleh mandapan lumpur yang banyak. Sejak dari itu, tanjung ini dikenali sebagai Tanjung Lumpur.

GAMBANG
Di sini, suatu ketika dahulu terkenal dengan permainan gambang (cak lempung) di kalangan masyarakatnya. Oleh yang demikian tempat ini terus dinamakan Gambang.

ALUR AKAR
Di kawasan ini dahulunya beralur dan ditumbuhi pula dengan pokok-pokok hutan tua berakar besar dan berlingkar-lingkar. Keunikan keadaan kawasan ini langsung membawa kepada namanya sekarang.

PERAMU
Tukang-tukang rumah bertumpu ke tempat ini untuk mencari bahan-bahan membuat rumah yang terdiri daripada kayu-kayu hutan. Istilah mencari bahan-bahan ini dikenali sebagai "meramu" dan akhirnya menjadi Peramu hingga sekarang.

BESERAH
Setelah kematian anaknya iaitu Cik Timah, Haji Senik (penduduk asal Kuantan) telah membuat keputusan meninggalkan Kampung Teruntum yang banyak meninggalkan kisah-kisah sedih. Beliau kemudiannya berpindah ke sebuah kawasan di utara Teruntum. Setelah membuat sebuah penempatan baru, kawasan ini pula diserang sejenis penyakit yang dikenali sebagai "hawar". Semua penduduk di kawasan ini bercadang untuk berpindah ke tempat lain tetapi Hj. Senik meminta mereka bersabar dan berserah kepada Allah SWT. Kerana sikap mesyarakatnya sentiasa bertaqwa dan berserah kepada Allah SWT, maka tempat ini dipanggil "Beserah" sehingga sekarang.

3 comments: